Dilahirkan pada 16 Oktober 2010 di Hospital Seri Manjung, Perak, Balqis mempunyai masalah kesihatan yang serius pada jantung, paru-paru dan sumbing bibir.
Menurut ibunya, Siti Maisalmah Mohd Kamil, 30, sejak dalam kandungan doktor tidak dapat mengesan masalah kesihatan Balqis sehingga dia dilahirkan. Kecacatan jelas kelihatan hanya pada bibir namun dua minggu selepas itu Balqis bernafas seperti orang kepenatan manakala nafasnya turun naik terlalu laju menyebabkan Siti Maisalmah merujuk ke Hospital Pulau Pinang. "Pada hari ke-13 doktor pakar mengesahkan jantung Balqis berlubang sedalam 0.8 sentimeter dan mengalami masalah paru-paru," katanya.
Ibu mana tidak sedih menerima berita itu namun Siti Maisalmah kuatkan semangat dan menerima dengan reda. Baginya dia perlu kuat, jika tidak siapa yang akan menjaga Balqis di hospital. Pada 29 November, sekali lagi Balqis dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Manjung selepas dia menangis dua jam tanpa henti menyebabkan badannya kebiruan.
"Saya panik dan terkejut dengan serangan sawan ke atas Balqis. Mujur dia cepat dibawa ke hospital dan diberi bantuan pernafasan. Doktor memberitahu paru-paru Balqis terkena jangkitan kuman menyebabkan darah terpaksa ditambah sebanyak empat pain," katanya. Keadaan Balqis semakin teruk kerana sering menangis menyebabkan Maisalmah dan suaminya mengambil keputusan menukarkan Balqis ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 25 Januari 2011 lalu. Pemeriksaan pakar perubatan HUKM mendapati paru-parunya membengkak sehingga merebak ke bahagian hati. Pemeriksaan lain seperti buah pinggang turut diadakan namun mendapati buah pinggang Balqis normal. Begitu juga dengan kajian genetik dan kromosom yang menunjukkan Balqis bebas daripada sindrom down.
Menurut Maisalmah, walaupun pembedahan tidak menjamin Balqis pulih sepenuhnya, itu lebih baik daripada dia dan suami membiarkan keadaan anak mereka begitu. "Dengan masalah sumbing serta jantung berlubang apa-apa kemungkinan boleh berlaku. Justeru, walaupun pembedahan paru-paru dan jantung berisiko tinggi, sebagai ibu kami mahu memberikan yang terbaik kepada Balqis supaya masa depannya lebih terjamin. "Apa saja yang berlaku kepadanya pada masa akan datang sekurang-kurangnya kami tidak menyesal," katanya.
Siti Maisalmah yang bertugas sebagai penyelaras akademik di K-Force Lumut, Perak sangat bersyukur kerana majikannya amat memahami dan memberikan dia kelonggaran untuk bekerja.
Malah pada awal kelahiran Balqis, dia dibenarkan bekerja separuh hari malah ketika Balqis dipindahkan ke HUKM, dia berpindah cawangan ke Kuala Lumpur. "Saya pernah terfikir untuk mengambil cuti tanpa gaji menjaga Balqis sehingga kesihatannya benar-benar pulih dan dibenarkan keluar hospital. "Namun memikirkan keadaan kewangan hasrat itu terpaksa dipendamkan saja. Lagi pun banyak komitmen yang perlu dilakukan terutama dalam memberikan keselesaan kepada Balqis," katanya. Kini, Siti Maisalmah tinggal di Rumah Ronald McDonalds kerana bayaran yang rendah serta berdekatan hospital. Justeru dia dapat menjaga Balqis pada waktu siang manakala suaminya Mohd Zuhairi Zainol, 31, menetap di Lumut bersama anak sulung mereka, Muhammad Zulmukhriz Iskandar yang berusia lima tahun. Hati ibu mana yang tidak sedih terpaksa berpisah dengan suami dan anak namun Maisalmah terpaksa tabahkan hati demi kesihatan Balqis dan mendoakan agar suami dan anaknya dalam keadaan sihat. Kini selepas menjalani pembedahan pertama Balqis menunjukkan perkembangan positif namun dia perlu tinggal di hospital untuk tempoh lama sehingga pulih. "Saya benar-benar meminta simpati masyarakat supaya mendoakan kesihatan Balqis. Mungkin doa dari seluruh rakyat Malaysia mana tahu Balqis akan pulih dan menunjukkan perkembangan yang sihat," katanya.

No comments:
Post a Comment